Satu program eksklusif buat warga APC telah diadakan pada jam 8.00 malam di platform zoom meeting. Seramai 236 orang telah hadir secara dalam talian untuk mendengar perkongsian yang disampaikan oleh Pengarah Akademi Pendidikan Awal Kanak-Kanak Al Baghdadi, Prof. Dr Mahani Razali.
Program ini diadakan khas bagi memberi motivasi dan suntikan semangat kepada seluruh warga APC sempena pembukaan sesi persekolahan yang akan bermula pada minggu hadapan. Antara perkara yang dikongsikan oleh Prof. Dr Mahani Razali melalui sesi ini adalah kepentingan penjagaan hati yang menjadi kunci utama untuk mendepani apa jua rintangan dan cabaran terutama untuk berhadapan dengan pelajar yang mempunyai 1001 macam ragam.
Beliau juga turut berpesan agar warga pendidik apc khususnya perlu bersifat holistik serta seimbang dalam semua aspek iaitu dari segi fizikal, emosi, minda dan rohani. Antara tips untuk menjaga hati adalah dengan cara kita mengawal pendengaran dan penglihatan kita daripada hal-hal yang negatif serta perlu mendampingi perkara-perkara yang positif demi memastikan hati kita sentiasa bersih. Orang yang memiliki hati yang bersih akan terdorong untuk melakukan hal-hal positif serta suka menyebarkan kebaikan.
Beliau juga turut berkongsi tentang ciri-ciri pendidik abad 21. Antaranya, mereka perlu bersikap berani mengambil risiko dan pandai menyesuaikan diri serta menjadi model teladan yang baik kepada semua masyarakat. Selain perlu memiliki sifat kepimpinan dalam diri, warga pendidik abad 21 juga perlu perlu mempunyai visi yang jelas serta boleh berkomunikasi dengan cara yang baik dengan orang sekeliling.
Program ini turut dihadiri oleh Pengasas Teknik Al Baghdadi iaitu Ust. Qr Hj Jalaluddin bin Hj Hassanudin, Ketua Pegawai Neuro Nadi International Tuan Farhan Haji Alias, Ketua Unit Pemasaran dan Pengurusan Rangkaian Al Baghdadi Cik Nur Amriena binti Abdullah, dan Pengurus Akademi Al Baghdadi Puan Nur Izzatul Syuhada Binti Ahmad Najih serta pengusaha-pengusaha Tadika Al Baghdadi (Pra Sekolah Al Quran dan Tahfiz Al Baghdadi).