Buat julung kalinya Akademi Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang diterajui oleh Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak iaitu Prof. Dr Mahani Razali bakal menganjurkan Kursus Persijilan Pendidikan Awal Kanak-Kanak secara online bermula pada 17 September ini. Modul program ini disusun sendiri oleh Prof Dr Mahani berdasarkan keperluan semasa dan juga pengalaman beliau yang sangat luas di dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak . Beliau merupakan bekas seorang pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak.

Al Baghdadi bakal menganjurkan satu majlis perhimpunan besar para pengusaha dan guru-guru APC dari seluruh pelusuk Malaysia pada 31 Ogos 2022 ini. Setiap tahun Al Baghdadi menganjurkan Bengkel Tahunan Guru APC namun kali ini, perhimpunan yang berskala besar ini bakal menghimpunkan sekitar 400 orang peserta di Movenpick Convensyen Centre di KLIA Sepang.

Satu program eksklusif buat warga APC telah diadakan pada jam 8.00 malam di platform zoom  meeting. Seramai 236 orang telah hadir secara dalam talian untuk mendengar perkongsian yang  disampaikan oleh Pengarah Akademi Pendidikan Awal Kanak-Kanak Al Baghdadi, Prof. Dr Mahani  Razali.  

Program ini diadakan khas bagi memberi motivasi dan suntikan semangat kepada seluruh  warga APC sempena pembukaan sesi persekolahan yang akan bermula pada minggu hadapan. Antara  perkara yang dikongsikan oleh Prof. Dr Mahani Razali melalui sesi ini adalah kepentingan penjagaan  hati yang menjadi kunci utama untuk mendepani apa jua rintangan dan cabaran terutama untuk  berhadapan dengan pelajar yang mempunyai 1001 macam ragam.  
 
Beliau juga turut berpesan agar warga pendidik apc khususnya perlu bersifat holistik serta  seimbang dalam semua aspek iaitu dari segi fizikal, emosi, minda dan rohani. Antara tips untuk  menjaga hati adalah dengan cara kita mengawal pendengaran dan penglihatan kita daripada hal-hal yang negatif serta perlu mendampingi perkara-perkara yang positif demi memastikan hati kita sentiasa bersih. Orang yang memiliki hati yang bersih akan terdorong untuk melakukan hal-hal positif serta suka menyebarkan kebaikan. 
 
Beliau juga turut berkongsi tentang ciri-ciri pendidik abad 21. Antaranya, mereka perlu  bersikap berani mengambil risiko dan pandai menyesuaikan diri serta menjadi model teladan yang  baik kepada semua masyarakat. Selain perlu memiliki sifat kepimpinan dalam diri, warga pendidik abad 21 juga perlu perlu mempunyai visi yang jelas serta boleh berkomunikasi dengan cara yang baik dengan orang sekeliling.  
 
Program ini turut dihadiri oleh Pengasas Teknik Al Baghdadi iaitu Ust. Qr Hj Jalaluddin bin Hj  Hassanudin, Ketua Pegawai Neuro Nadi International Tuan Farhan Haji Alias, Ketua Unit Pemasaran  dan Pengurusan Rangkaian Al Baghdadi Cik Nur Amriena binti Abdullah, dan Pengurus Akademi Al  Baghdadi Puan Nur Izzatul Syuhada Binti Ahmad Najih serta pengusaha-pengusaha Tadika Al Baghdadi  (Pra Sekolah Al Quran dan Tahfiz Al Baghdadi).

Qr Junior merupakan program yang dibangunkan khusus untuk Al Baghdadi Playtime Centre (APC) dengan kerjasama StudentQr. Idea ini tercetus semasa wabak covid-19 melanda Malaysia dan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dilaksanakan. Perkara ini sangat memberikan impak kepada institusi pendidikan termasuklah Pra Sekolah Al Quran dan Tahfiz Al Baghdadi atau lebih dikenali sebagai tadika al Baghdadi. Demi memastikan tadika al Baghdadi dapat beroperasi seperti biasa dan berjalan seiring dengan peredaran zaman, maka pelbagai aspek ditingkatkan dan dibangunkan kearah pendigitalan dari semasa ke semasa.


Dan antara program yang dibangunkan, sesuai untuk diaplikasikan di kelas secara fizikal mahupun PdPR adalah program berkonsepkan reward chart yang dikenali sebagai Qr Junior. Program ini terbukti dapat membantu untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik malah memiliki sahsiah yang terpuji. Penglibatan tenaga pengajar dan ibubapa sangat memberikan kesan yang positif dalam peningkatan sahsiah murid-murid. Malah program ini juga mendorong murid untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan sekaligus menunjukkan contoh yang baik kepada rakan dan ahli keluarga.


Qr Junior mempunyai dua aplikasi khas yang boleh dimuat turun di google playstore serta apple playstore iaitu aplikasi Qr Junior Teacher dan Qr Junior Parent. Kedua-dua aplikasi ini masing-masing digunakan oleh guru dan ibubapa untuk memberikan markah kepada murid setiap kali mereka melakukan perkara baik. Ibubapa juga sangat berpuas hati kerana dapat melihat serta memantau perkembangan pendidikan serta sahsiah anak-anak setiap hari hanya melalui apps.


Pertandingan Pencarian Qr Junior Hero 2021 diadakan adalah bagi memberikan suntikan semangat kepada pelajar untuk lebih suka melakukan kebaikan dan berperlakuan baik. Sebanyak 24 centre daripada seluruh negeri telah terpilih untuk menyertai pertandingan ini dan seramai 72 orang murid diumumkan sebagai pemenang mewakili tadika al Baghdadi masing-masing dan hanya 1 murid sahaja yang merangkul gelaran juara. Nak tahu siapakah pemenang-pemenangnya? Boleh saksikan videonya di pautan ini https://www.youtube.com/watch?v=a9RL6MuL0Ik

December Mega Open Day atau singkatannya DIAMOND adalah program yang diadakan buat julung-julung kalinya pada 31 Disember 2021 secara dalam talian melalui platform zoom dan juga facebook live. Tujuan program ini diadakan adalah bagi memberikan pendedahan secara umum kepada semua ibubapa dan juga pengusaha serta pendidik di tadika al Baghdadi tentang keistimewaan serta keunikkan yang ada di tadika al Baghdadi. Program ini secara tidak langsung dapat menjawab teka teki ibubapa mengapa mereka perlu daftarkan anak mereka di tadika al Baghdadi.


Antara info yang disampaikan melalui program ini adalah pengenalan mengenai al Baghdadi Group Sdn Bhd sebagai sebuah syarikat yang menyediakan pendidikan al Quran sepanjang hayat bermula daripada bayi dalam perut (pendidikan kepada ibu hamil) sehingga peringkat usia emas. Dan setiap peringkat pendidikan mempunyai silibus dan modulnya yang tersendiri. Seterusnya, program dilanjutkan dengan perkongsian tentang tadika al Baghdadi yang 50% berteraskan kepada pembelajaran al Quran dimana menekankan dua subjek utama iaitu tamhid (pengenalan huruf-huruf hijaiyyah dengan menggunakan teknik ketukan al Baghdadi) dan juga hafazan nadi al Baghdadi (hafazan surah-surah dalam juzuk amma). Di samping itu juga, tadika al baghdadi turut menyediakan silibus bagi subjek Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Jawi, Sains, Matematik serta Pendidikan Seni.


Diakhir program ini, terdapat penampilan istimewa iaitu wakil murid tadika al Baghdadi yang telah khatam al Quran beberapa kali untuk membacakan ayat suci al Quran al Karim dihadapan penonton secara live. Ini membuktikan bahawa objektif al Baghdadi untuk melahirkan generasi genius al Quran boleh direalisasikan dengan sokongan dan dorongan pelbagai pihak. Biiznillah..
Nak tahu lebih lanjut berkenaan tadika al Baghdadi, tonton rakaman program DIAMOND di sini
https://www.youtube.com/watch?v=4zXhrtP-WaM